Monday, September 17, 2007

Kerjaya Datuk Siti Nurhaliza


Keluarga Siti Nurhaliza mengadakan persembahan di kebanyakan upacara setempat di kampung halaman mereka, misalnya perkahwinan. Pada usia 12 tahun, Siti mula mempelajari lagu tradisi daripada ibunya, maka teruslah beliau mengikut jejak keluarga beliau dengan menyanyi di majlis-majlis di sekitar tempat tinggalnya.

Kemudian, sementara beliau meneruskan kerjaya menyanyinya, Siti menyertai pelbagai pertandingan bakat tempatan. Pada usia 16, beliau bertanding dalam Bintang RTM 1995. Ketika itu, beliau menemui Adnan Abu Hassan, seorang penggubah terkenal. Adnan membimbing dan membantu Siti dengan persembahan vokal beliau, maka beliau dapat menjuarai pertandingan itu. Selepas itu, Siti ditawarkan kontrak rakaman bersama Suria Records, iaitu tempat kerja Adnan, maka pada tahun 1996 beliau mengeluarkan album sulung beliau, Siti Nurhaliza. Beliau menghadapi cabaran getir sewaktu membikin album pertamanya kerana terpaksa mengimbangkan pembikinan itu dengan persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Walaubagaimanapun, beliau hanya lulus SPM dengan keputusan yang cukup-cukup makan sahaja. Sungguhpun demikian, album pertamanya sangat berjaya, dan ini memberi laluan kepada album-album seterusnya yang turut berjaya. [1]

Selepas album sulungnya dihasilkan, Siti Nurhaliza menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam persada muzik Melayu. Beliau terus mencatat banyak lagi lagu-lagu hit. Lagunya merangkumi pelbagai jenis irama muzik popular seperti muzik pop, R&B dan Melayu tradisi. Suara dan lirik lagu-lagu beliau menjadikannya amat terkenal dengan remaja tempatan. Oleh itu, beliau mampu mendominasi pelbagai majlis anugerah selama bertahun-tahun.

Timbulnya artis baru untuk bersaing, seperti Siti Sarah yang dikatakan sebagai pelapis persada muzik Melayu. Siti juga dikritik oleh beberapa pihak, kononnya kerana gayanya yang ketinggalan zaman, sementara artis-artis lain mengikuti trend pop terkini. Walau bagaimanapun, Siti Nurhaliza tetap mengamalkan prinsip lama, dan masih merupakan seorang tokoh Melayu popular dan ternama. Siti masih menjadi tumpuan peminat, Siti juga pernah mendapat pujian oleh tokoh ulama' dari Indonesia yang menyeru supaya artis-artis mencontohi keperibadian Siti yang tidak pernah lekang dari adat keMelayuan. Boleh dikatakan sudah tiada artis seperti Siti pada hari ini.

Siti menjayakan konsert solo di Royal Albert Hall yang berprestij di London pada 1 April 2005, sungguhpun kebanyakan penonton ketika itu berbangsa Malaysia yang menetap di UK atau datang dari tanahair. Beliau merupakan satu-satunya penyanyi Malaysia selepas Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang pernah mengadakan persembahan di dewan tersebut. Pada lewat tahun yang sama beliau di Taiwan untuk berduet dengan Lee-Hom Wang dengan mendendangkan lagu berbahasa Mandarin berjudul Yue Liang Daibiao Wo de Xin yang asalnya dinyanyi oleh mendiang Teresa Teng.

Teh CTEA berperisa Pandan
Siti juga mengorak langkah dalam bidang perniagaan dengan mewujudkan produk teh dengan jenama CTEA. Dari kaki gunung Kinabalu, Sabah, Siti Nurhaliza Marketing membawa perisa pandan dan geranium kepada masyarakat Malaysia. Berniaga merupakan aktiviti yang sudah sebati dengan Siti, dan jenama CTEA merupakan bisnes keluarga.
Pada tahun
2006 beliau sekali lagi mencipta kontroversi dengan berkahwin dengan Datuk Khalid Muhammad Jiwa dan menjadi Perkahwinan Terbesar pada tahun tersebut. Beliau juga telah mengorak langkah menjadi penggubah apabila mencipta dua lagu yang dimuatkan di dalam album terbarunya Transkripsi iaitu Hati Berbisik dan Intrig Cinta.
Siti Nurhaliza juga telah memeriahkan acara permaidani merah di Anugerah Grammy yang bertempat di Staples Center,
Los Angeles pada 11 Februari 2007. Pembabitan Siti Nurhaliza ini menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama diberi penghormatan melalui permaidani merah di arena Grammy yang berprestij.

Selain itu, Siti Nurhaliza juga telah memeriahkan industri televisyen apabila menerbitkan siri tv realiti yang berjudul Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene. Program ini adalah cetusan dari Siti Nurhaliza, dan dengan pembabitan Pantene. Program ini mendapat sambutan hangat sehinggakan program yang sama diwujudkan di negara Indonesia. Siti juga telah turun padang apabila turut sama menjayakan lima episod di Indonesia.

2007 menyaksikan pembabitan Siti dengan konsert besar apabila beliau mengadakan konsert khas bagi mengenang Lagenda Negara, Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma. Konsert ini diberi nama 'Istana Cinta : Tan Sri P.Ramlee & Puan Sri Saloma'. Konsert ini berlangsung selama 2 hari berturut-turut di Istana Budaya. Ramai kenalan artis dan tokoh negara yang hadir, termasuk Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya. Konsert ini disiar tayang di RTM1, dua hari sebelum ulangtahun pemergian P.Ramlee. Usaha beliau yang murni ini akan terus diabadikan apabila Siti Nurhaliza Production bersetuju untuk menerbitkan DVD/VCD khas untuk konsert tersebut.

No comments: